Harta Dibeli untuk Siapa?..Uncle C oh Uncle C….

Saya mula diperkenalkan kepada seoarang client ini, yang saya namakan Uncle C sejak 2012 lagi. Uncle C membeli sebuah rumahpangsa secara lelong. Uncle C ketika itu sudahpun berusia 65 tahun.

Orangnya kurus hampir bongkok. Pada usia itu Uncle C masih gigih bekerja di salah satu kedai kain terkemuka di Malaysia.

Satu beg usang berisi 2 botol air besar menjadi peneman ke mana sahaja Uncle C pergi. Di dalam beg itu jugalah Uncle C menyimpan segala resit dan satu buku tulis sekolah  yang penuh dengan nombor-nombor telefon.

Uncle C tidak mempunyai kenderaan. Beliau hanya naik bas atau train untuk pergi kerja dan juga ke mana-mana. Kemudiannya pandai mengambil Grab.

Cerita Uncle C tidak complicated mana. Saya rasa dia menyimpan banyak duit sepanjang dia bekerja. Mungkin memasuki mana-mana skim di Bank di mana selepas tempoh matang beliau boleh mengeluarkan wang tersebut.

Maka bermulala Uncle C membeli rumah-rumah lelong, dua, tiga, empat.. seingat saya di tangan saya ada 10 kesemuanya. Range harga antara RM25,000.00 sehingga RM120,000.00. Semuanya dibeli secara tunai.

Sepanjang saya berurusan dengan Uncle C saya tahu dia tidak berkahwin. Tidak mempunyai anak. Dan saya langsung tidak mengetahui dengan adik beradik Uncle C. Beliau terlalu berahsia orangnya.

Disebabkan Uncle C telah lanjut umur, seringkali juga saya yang menjadi ”driver” beliau untuk mengeluarkan duit di Bank, atau membuat bank draft bagi pembelian rumah-rumah tersebut.

Saya lakukan dengan ikhlas. Kadang-kala Uncle C belanja saya makan.

Saya teringat satu ketika dia nak belanja saya.

”Ambiklah apa you nak makan” katanya ketika kami sampai di restoran nasi campur.

Saya pun macam biasalah, ambil nasi sedikit dan 2 jenis lauk-sebab memang kuat makan lauk, dan minta air barli ais. Kemudian saya duduk.

Uncle C kemudiannya duduk di hadapan saya. Di pinggannya hanya ada nasi penuh dan seekor ikan goreng. Dan dia minta air kosong sahaja. Aduuhh..terasa bersalahnya saya.

”Apa ni uncle you makan ikan goreng saja. I ambil macam-macam”

“Tak apa..tak apa..”..selepas itu kalau Uncle C nak belanja lagi saya ambil air sahaja haha.

Ye kadang kala dia pemurah begitu. Tapi legal fees asyik minta diskaun sahaja haha. Saya cuba lah bagi diskaun setakat yang mampu. Saya ada firm untuk dijalankan. Pekerja untuk dibayar gaji. Jadi sudah tentula sikit-sikit tu bolehla.. banyak-banyak senget pula saya nanti.

Ada kalanya saya juga pergi menemankjan Uncle C untuk mendapatkan wang sewa daripada penyewa. Yelah, rumah beli banyak, semua disewakan. Dah tentu ada ketikanya timbul masalah dengan penyewa-penyewa.

Saya juga bawa Uncle C ke balai polis apabila ada penyewa yang berdegil. Saya taip dulu report tersebut dan kemudian polis taip semula sahaja. Bak katanya, ke mana Uncle C nak pergi berkaitan rumah-rumahnya saya bawakan ajelah.

Lama jugalah saya melayan karenah Uncle C. Lama kelamaan disebabkan kesibukan saya mula tiada masa untuk menolong beliau. Ditambah pulak Uncle C ni fesyennya, bila cuti je terus ke pejabat dan minta saya membawanya ke sana ke mari. Tak kesemua permintaan Uncle C dapat saya turuti. Dan akhirnya Uncle C pun belilah smartphone dan bolehla beliau ambil Grab. Kalau tak telefonnya adalah jenis Nokia yang besar tu dan siap diikat getah. Mungkin bagi mengelakkan telefon terbuka dan bateri terkeluar kot. Jadi setahu saya setiap pergerakan Uncle C adalah secara solo sahaja tanpa bantuan sesiapa.

Siapa sangka kan..Uncle yang kelihatan tua uzur dengan macam serba kekurangan memiliki lebih 10 buah rumah-saya rasa ada dalam 2-3 buah diuruskan  oleh peguam yang lain. Mungkin itulah kelebihannya apabila rajin menyimpan dan kedekut pada diri sendiri..

Setiap fail Uncle C mempunyai masalah tersendiri. Ada yang  smooth sahaja.. dan banyak juga yang melibatkan pemaju yang telah bankrap. Saya tetap memastikan fail-fail Uncle C siap dan setiap salinan dokumen diserahkan kepada beliau untuk simpanan.

 

Kemudian Covid melanda negara, pejabat ditutup dan banyak urusan ditangguhkan. Lama juga saya tidak mendengar cerita Uncle C.

 Apabila pejabat mula boleh beroperasi sekitar 2021, tiba-tiba 2 orang lelaki agak tua berbangsa Cina datang ke pejabat saya. Mereka membawa kejutan kepada saya.

Mereka merupakan adik-adik Uncle C. Uncle C rupanya ada 10 orang adik beradik! Dan Uncle C telah meninggal dunia di salah satu rumahnya di Klang seorang diri pada beberapa minggu yang lepas. Adiknya ada menunjukkan gambar keadaan mayat Uncle C di rumah tersebut. Saya hanya melihat sedikit sahaja dan tidak sanggup melihat lagi.

Dikhabarkan Uncle C ditemui oleh jiran setelah 3 hari meninggal dunia kerana ada bau datang dari dalam rumah tersebut.

Sedih juga saya mendengar cerita kematian Uncle C tersebut. Begitulah nasib kita sebagai manusia ini. Tidak tahu pengakhiran kita bagaimana.

Dan lebih menyedihkan adalah apabila adik-adik Uncle C mula membuat kira-kira tentang rumah-rumah Uncle C dan telah melantik lawyer untuk menurunmilik dan menjual harta-harta Uncle C tersebut. Mereka bawa datang kepada saya 2-3 beg Uncle C yang mengandungi dokumen-dokumen rumah -rumah Uncle C yang pernah saya serahkan kepada Uncle C untuk dipilih-pilih mana dokumen penting dan mana yang tidak untuk diserahkan kepada peguam lantikan mereka. Nampaknya mereka semua mendapat hasil bergolek-golek begitu daripada kesusahan seorang abang. Rezeki merekalah.........

 

Next
Next

Wira menghentikan Lelongan Awam