Nak Tukar Internet Pun Kena Jadi Lawyer?

Saya seorang peguam. Suami saya pula seorang pesara guru.

Pada mulanya, kami cuma mahu menukar penyedia perkhidmatan internet. Bukan mahu memfailkan saman, bukan mahu berdebat tentang undang-undang kontrak.

Cuma mahu tukar internet. Simple.

Sebelum membuat keputusan, kami telah mendapatkan pengesahan bahawa tiada lagi kontrak aktif yang menghalang perpindahan tersebut.

Maka kami pun menandatangani kontrak baharu dengan CelcomDigi.

Selesai?

Oh, tidak semudah itu rupanya.

Tiba-tiba kami dimaklumkan perpindahan tidak berjaya kerana masih ada kontrak dengan TM. Dan jika mahu meneruskan perpindahan, timbul pula soal penalti.

Wait a minute.

Bukankah kami sudah bertanya terlebih dahulu?

Dan daripada satu urusan menukar internet, bermulalah episod e-mel, WhatsApp, penjelasan yang bercanggah dan peringatan demi peringatan.

Nampaknya kali ini, peguam terpaksa mewakili isi rumah sendiri. Haha.

Bagaimana Semuanya Bermula

Pada 7 Oktober 2025, kami telah mendapatkan maklumat daripada pihak TM mengenai status kontrak perkhidmatan internet kami.

Pengesahan yang diterima ialah tiada kontrak aktif yang menghalang kami daripada menukar penyedia perkhidmatan.

Berdasarkan maklumat tersebut, pada 9 Oktober 2025, kami menandatangani kontrak baharu selama dua tahun dengan CelcomDigi.

Kemudian, muncul pula maklumat bahawa kami sebenarnya masih terikat dengan kontrak berkaitan peralatan (Customer Premises Equipment atau CPE).

Eh?

Kalau perkara itu dimaklumkan lebih awal, tentulah kami boleh mempertimbangkan pilihan yang ada sebelum mengikat kontrak dengan syarikat lain.

Tetapi sekarang kami sudah pun mempunyai komitmen baharu.

Saya boleh menerima bahawa manusia melakukan kesilapan. Namun, apabila pengguna membuat keputusan berdasarkan maklumat yang diberikan, kesan daripada percanggahan maklumat itu tidak sepatutnya dipandang ringan.

Maka Bermulalah Rantaian Emails

Pada ketika itu, saya bukan bertindak sebagai peguam kepada mana-mana klien.

Saya ialah pengguna yang mempertikaikan kedudukan kontraknya sendiri.

Saya mula menyusun kronologi, meneliti maklumat yang diberikan dan meminta penjelasan tentang asas tuntutan penalti tersebut.

E-mel demi e-mel dihantar. Saya CC email kepada CEO TM, MCMC, E-aduan dan juga ke email prosnal Menteri Komunikasi YB Dato Seri Fahmi Fadzil pun …haaa kawww

Persoalan saya sebenarnya mudah.

Jika kami telah mendapatkan pengesahan sebelum membuat keputusan, mengapa kami pula perlu menanggung akibat percanggahan maklumat tersebut?

Selepas beberapa siri komunikasi, kami dimaklumkan bahawa penalti kontrak yang berjumlah lebih RM2,000 akan dikecualikan.

Kami kemudiannya membuat bayaran RM307 seperti yang dimaklumkan bagi meneruskan urusan tersebut.

Saya fikir, okay, finally.

Rupanya belum lagi…….

Bila Sistem Tidak Seiring Dengan Apa Yang Dijanjikan

Walaupun kami sudah menerima pengesahan bahawa penalti kontrak akan dikecualikan, melalui perbualan WhatsApp secara terus dengan pegawai TM, permohonan pemindahan talian kepada CelcomDigi masih ditolak oleh sistem TM!

Alasan yang tertera?

ā€œRefuse To Pay Contract Penalty.ā€

Saya baca sekali lagi.

Refuse to pay?

Bukankah penalti itu sudah dimaklumkan akan dikecualikan? Bukankah kami sudah membuat bayaran seperti yang dipersetujui?

Maka bermulalah lagi satu pusingan komunikasi.

Saya meminta supaya percanggahan tersebut diperbetulkan, pengecualian penalti disahkan dan proses pemindahan tidak terus tergendala.

Apa yang pada asalnya cuma urusan menukar internet kini sudah menjadi satu fail kecil yang memerlukan kronologi, bukti pembayaran dan rekod komunikasi.

Bezanya, fail ini tidak membawa apa-apa fi guaman.

Pro bono untuk suami sendiri. Haha.

Akhirnya, Talian Berjaya Dipindahkan

Selepas talian emails berpanjangan selama hampir dua bulan, dan tindakan susulan, permohonan pemindahan talian akhirnya diluluskan dan proses tersebut berjaya diselesaikan.

Sepatutnya di situlah noktahnya.

Namun, beberapa bulan kemudian, muncul pula tuntutan bil sebanyak RM2,584.30 yang kami pertikaikan, termasuk komunikasi daripada pihak pemungut hutang.

Jadi, episod emails tersebut masih belum benar-benar berakhir.

Namun selepas menghantar email lagi dan lagi dan siap CC semula kepada badan-badan di atas, penalty tersebut berjaya dilupuskan. Dan saya pastikan saya menyimpan bukti chat serta bill terkini yang tertera ā€˜0ā€ atau tiada bil lagi tersebut. Risau dua tahun lagi perkara sama akan timbul semula.

Daripada Pengalaman Sendiri Kepada Kepentingan Klien

Pengalaman ini mengingatkan saya bahawa pertikaian undang-undang tidak semestinya bermula dengan perkara yang besar.

Kadangkala ia bermula dengan sebuah kontrak, bil yang dipertikaikan, janji yang tidak dilaksanakan atau maklumat yang bercanggah.

Bagi pengguna biasa, situasi begini boleh menjadi sangat memenatkan. Lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan organisasi besar, prosedur dalaman dan pelbagai pihak yang memberikan jawapan berbeza.

Dalam keadaan sedemikian, mengetahui hak sendiri adalah penting. Tetapi mengetahui bagaimana untuk mempertahankan hak tersebut juga tidak kurang pentingnya.

Sebagai peguam, itulah antara perkara yang kami lakukan di Wira Law Firm — meneliti dokumen, mengenal pasti isu undang-undang, menyusun fakta dan mengemukakan pendirian yang berasas bagi pihak klien.

Tidak semua pertikaian perlu dibawa ke mahkamah. Ada yang boleh ditangani melalui surat-menyurat, rundingan atau saluran aduan yang bersesuaian. Ada juga yang memerlukan tindakan undang-undang selanjutnya.

Jika anda turut berhadapan dengan pertikaian kontrak, tuntutan bayaran yang diragui atau masalah dengan penyedia perkhidmatan, kami boleh membantu meneliti kedudukan anda dan menasihati langkah yang wajar diambil.

Kisah ini mungkin bermula dengan saya mempertahankan kepentingan keluarga sendiri.

Tetapi kerja mempertahankan kepentingan orang lain bukanlah sesuatu yang asing bagi saya. Itulah sebahagian daripada profesion yang telah saya jalani sejak tahun 2002.

Dan selepas pengalaman ini, ada satu perkara yang pasti.

Lain kali kalau nak tukar internet, nampaknya kena buka fail dulu.

Just kidding. Or am I?

Catatan ini berdasarkan pengalaman peribadi penulis dan komunikasi yang berlaku pada masa berkenaan. Ia tidak menggambarkan suatu keputusan mahkamah atau penentuan muktamad tentang liabiliti mana-mana pihak. Setiap pertikaian mempunyai fakta dan pertimbangan undang-undangnya yang tersendiri.

Next
Next

Harta Dibeli untuk Siapa?..Uncle C oh Uncle C….